Sunday, February 19, 2017

# Info

SEJARAH TOK BIDAN SUSU LANJUT

Hi Salam,


Arwah abah pernah bercerita tentang Seorang nenek dari alam yang hanya Allah sahaja yang mengetahui .

Arwah abah jugak pernah bercakap tentang "Nenek Susu Lanjut " ketika berubat dulu2.

Alam teringat lalu cuba mencari kewujudan beliau..Alam jumpa ..maka betul la, ada kisah seorang nenek yang diceritakan ketika kami kecil dahulu.

SEJARAH TOK BIDAN SUSU LANJUT
Setiap manusia Allah S.W.T ciptakan dengan sebaik-baik kejadian sesuai dengan firmanNYA dalam Surah At-Tin yang bermaksud “ aku ciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian”. Setiap manusia juga dianugerahkan kelebihan dan kelemahan tertentu dan ianya sudah pasti mempunyai hikmah yang Allah S.W.T sahaja yang mengetahuinya. Adakala keistimewaan yang Allah kurniakan kepada manusia dianggap sebagai sesuatu yang luarbiasa dan menakjubkan sepertimana kehebatan yang ada pada Laksamana Hang Tuah. Dalam konteks ini maka sejarah kehebatan yang dimiliki oleh seorang hamba Allah yang digelar Tok Bidan Susu Lanjut juga tidak terkecuali. Populariti beliau menjadi sebutan ramai khususnya di negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia.
Mengikut kajian dan juga pendapat dari beberapa pihak, Tok Bidan Susu Lanjut didakwa berasal dari tempat yang berbeza. Antaranya ialah Pagar Ruyung, Indonesia, negeri Kedah, Permatang Pauh, Pattani dan lain-lain lagi. Hanya dua pihak yang mengakui kuburnya terdapat di tanah perkuburan Kamunting Lama yang lebih dikenali ‘Kubur Keramat Tok Bidan”. Kesimpulan bole dibuat iaitu Tok Bidan Susu Lanjut atau Keramat Tok Bidan bukanlah hanya seorang individu sahaja. Salah satu pihak yang mendakwa kubur keramat Tok Bidan di Kamunting Lama adalah kubur Tok Bidan dari keturunan mereka ialah orang-orang yang berasal dari Pattani dan sebahagian besar daripada mereka ini menetap di mukim Batu Kurau.
Menurut cerita yang disampaikan oleh dua orang cicit Tok Bidan Susu Lanjut (keturunan Pattani) (1) Haji Ali Safar bin Jaafar yang hidup dari tahun 1863 hingga 1968 dan (2) Haji Idris bin Haji Mohd Ali yang hidup dari tahun 1893 hingga 1985 kepada anak-anak mereka yang terdiri dari En Yaakob bin Ali Safar dan En Abu Bakar bin Hj Idris serta cucu saudara mereka yang bernama En Mohd Daud bin Hanapi (Kampung Changkat Perah), maka amat menarik sekali untuk diperjelaskan sedikit sejarah mengenai Tok Bidan Susu Lanjut.
Tok Bidan Susu Lanjut atau nama sebenarnya ialah Tok Esah hidup sekitar 1790an hingga 1870an. Bapanya bernama Tok Debasa manakala nama ibunya tidak dapat diketahui. Tok Esah mempunyai tiga orang abang yang bernama Tok Jusoh, Tok Tahir dan Tok Pakeh. Mereka ini bergelar Datuk Panglima Gagah, Datuk Panglima Garang dan Keramat Tok Pakeh sementara adiknya pula bernama Mat Hassan. Sejarah awal menyatakan bahawa keluarga ini melarikan diri dari negeri Pattani disebabkan berlakunya ancaman keselamatan oleh Kerajaan Siam. Terdapat juga kepercayaan bahawa Tok Debasa berasal dari Indonesia. Beliau telah pergi ke Pattani dan berkahwin dengan seorang Kerabat Raja Pattani. Pasangan ini telah berhijrah dan pernah menetap di Sedim, Kedah. Hujah ini diperkuatkan dengan adanya sebuah bukit di sana yang dikenali sebagai “Bukit Tok Debasa”. Di bukit itu juga jasadnya disemadikan. Manakala empat orang anaknya kecuali Tok Pakeh (tidak ikut berhijrah) meneruskan perjalanan ke destinasi terakhir di Bukit Gantang, Perak meneroka dan terus menetap di situ. Tok Esah telah berkahwin dengan seorang bomoh yang dikenali sebagai Tok Kermat Serban Kuning. Pasangan ini dikurniakan seramai tujuh orang anak yang terdiri daripada Tijah, Hawa, Munah (bergelar Tok Pattani), Jusoh, Ibrahim, Jabar dan Bakar. Cucu mereka yang bernama Abdullah (anak bongsu Ibrahim) kini telah berusia 90 tahun dan menetap di Kampung Padang Temu, Baling, Kedah.
Sejarah awal menyatakan bahawa keluarga ini mempunyai hubungan kekeluargaan dengan seorang Kerabat Raja Pattani yang bernama Tok Indera. Tok Indera bersama keluarga dan pengikutnya dipercayai adalah kumpulan pertama yang membuka penempatan pelarian orang-orang Pattani di Mukim Batu Kurau pada awal kurun ke 18. Kampung terawal yang diterokai ialah Kampung Batu Bertindan. Justeru itu, Tok Esah bersama anaknya Jusoh telah datang ke Kampung Batu Bertindan pada awal kurun ke 19 untuk menjejaki keluarga Tok Indera di samping untuk turut sama menetap di kampung tersebut. Jusoh telah bertemu jodoh dengan seorang perempuan bernama Marela. Marela dan adiknya yang bernama Majlis serta kumpulannya melarikan diri dari Kampung Kerunai, Gerik kerana kampung tersebut telah diserang oleh tentera Siam. Mereka menetap di Kampung Cheruk Kelian, Changkat Perah. Perkahwinan antara Jusoh dengan Marela dikurniakan seramai enam orang anak iaitu Mat Diah, Kernai, Siti Hajar, Saman, Senu dan Esah. Oleh yang demikian hampir 95% penduduk Changkat Perah adalah berasal dari keturunan Marela dan Jusih serta Majlis dan suaminya yang bernama Musa. Selepas kematian Marela, Jusoh telah pergi ke Sik atau Sedim, Kedah untuk menjejaki keluarganya dan berkahwin pula dengan seorang gadis jelita di sana. Pasangan ini dikurniakan dua orang anak yang terdiri dari seorang lelaki dan seorang perempuan. Kedua-dua orang itu tidak diketahui namanya dan sehingga kini keturunan mereka tidak dapat dkesan. Dipercayai Jusoh telah meninggal dunia dan dikebumikan di sana. Berdasarkan faktor itu, pihak dari Kedah juga mendakwa bahawa mereka adalah keluarga dari pasangan Jusoh dan isteri barunya itu.
Setelah kematian Jusoh, anak-anaknya terutama sekali yang bongsu iaitu Esah telah dibesarkan sendiri oleh nenek mereka (Tok Bidan Susu Lanjut).
Kebolehan ilmu perbidanan Tok Esah bermula semenjak di Bukit Gantang lagi dan khidmatnya diteruskan di Kampung Batu Bertindan serta kampung-kampung sekitarnya. Antara kebolehan luarbiasanya ialah ketika beliau membidani seorang perempuan yang hendak melahirkan anak. Secara tiba-tiba keajaiban telah berlaku apabila bayi yang dilahirkan oleh seorang perempuan tersebut berupa beberapa biji telur yang besar dan bukannya berbentuk manusia. Oleh itu, Tok Esah telah mengulit-ulit sambil bermentera maka dengan kehendak Allah S.W.T maka terhasillah rupa bentuk beberapa orang bayi dari telur-telur tersebut. Kelebihannya yang lain termasuklah sebagai bomoh yang luar biasa dan menakjubkan.
Tok Esah dipercayai meninggal dunia di Kamunting ketika dalam perjalanan pulang dari menziarahi keluarganya di Bukit Gantang. Disebabkan beberapa faktor penghalang untuk membawa pulang jenazahnya ke Kampung Batu Bertindan maka jasadnya telah dikebumikan di tanah perkuburan Kamunting Lama. Hujah ini disokong kuat oleh keturunan Datuk Panglima Gagah dan Datuk Panglima Garang yang tinggal di Bukit Gantang. Namun kesahihan mengenai kebenaran kubur Keramat Tok Bidan tidak dapat dipastikan kerana ada pihak lain yang mendakwa bahawa jasadnya disemadikan di Baling, Kedah tetapi tiada fakta sahih diketemui. Maka hanya Allah S.W.T sahaja yang lebih mengetahuinya. Sejak dari itu, kubur Keramat Tok Bidan di Kamunting Lama telah menjadi tumpuan masyarakat termasuk kaum Cina dan India untuk memohon hajat dan membayar nazar sehinggalah binaan yang terdapat di atas kubur tersebut dirobohkan oleh Jabatan Agama Islam Perak pada tahun 1982 kerana dianggap khurafat. Wallahua’lam bissawab…

Sumber: Buku Salasilah Batu Kurau Karangan YB Hasbullah Hj Elias

No comments:

Post a Comment

Pages